Jumaat, 13 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : DNPN dapat sambutan luar biasa



Oleh ZULKIFLI JALIL dan ASSIM HASSAN

DIALOG Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang diadakan sejak 29 April lalu di 15 lokasi di seluruh negara menerusi pertemuan dengan rakyat yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara.

Melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik', Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin berkata, pada program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.

Malah, beliau berkata, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pelajaran menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat.

''Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.

"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.

''Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang hadir.

''Ini menunjukkan isu-isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya dalam satu wawancara khas di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, di sini baru-baru ini.

DNPN merupakan satu inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.

Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.

Tambah Wan Mohd. Zahid, dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.

Jelasnya, beliau sendiri dan beberapa lagi panel akan berada pada setiap townhall itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.

Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.

Katanya, bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada mereka bercakap lebih lama.

''Setakat ini kita telah mengadakan 19 persidangan meja bulat bagi dialog tersebut dan rata-rata respons yang diberikan sangat memberansangkan.

''Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan negara.

''Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat global,'' ujarnya.

Setakat ini, lebih 10,808 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.

Jelas Wan Mohd. Zahid, pihaknya dengan tangan terbuka sentiasa menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya.

Menurutnya, penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan itu.

''Kita telah meneliti 118 isu dalam memorandum yang diterima daripada pelbagai pihak dan kita juga mengambil kira input daripada laman sosial kami di Facebook - myedureview2012 dan Twitter - @edureview2012,'' katanya.

Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat, kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan negara ini.

Katanya, pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.

Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya.

''Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah dikenal pasti.

''Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.

''Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita sebenarnya mahu dengar pandangan dia,'' ujarnya.

Walaupun program jelajah DNPN tiba di lokasi terakhir Johor Bahru Sabtu ini, orang ramai masih boleh menyatakan kritikan, komen, cadangan dan forum secara online melalui laman web Kajian Semula Pendidikan di www.edureview.my.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Audit bahasa Melayu cabaran baru DBP


Oleh : Imlan Adabi

Masalah boleh diselesaikan jika kerajaan berazam tingkatkan citra Malaysia

Syabas Dr Awang Sariyan kerana mengotakan janji yang dibuatnya Februari lalu untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu di jabatan kerajaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan proses audit bahasa kebangsaan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelang akhir tahun ini, dengan menempatkan kakitangan bagi memeriksa dokumen rasmi jabatan terbabit.

Laporan audit terbabit akan dikeluarkan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil dalam usaha meningkatkan tahap penggunaan bahasa kebangsaan di agensi yang dikesan masih belum menepati piawaian ditetapkan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai Disember, dengan mengaudit semua tindakan dan aktiviti untuk melihat sejauh mana badan kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.

Untuk tujuan ini, beliau berkata, pelbagai pekeliling dikeluarkan oleh JPA termasuk yang terbaru Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai panduan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Kita harap isu bahasa boleh diselesaikan jika kerajaan berazam untuk meningkatkan citra Malaysia. Sebelum ini isu bahasa bermasalah kerana pimpinan politik tidak tegas. Kita harap ia tidak berulang walaupun pelbagai kempen pernah dilaksanakan. Lebih malang apabila kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebelum ini tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Audit bahasa tindakan terbaik

Keadaan ini berpunca sikap pegawai atasan dan penjawat awam yang tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.

Memang diakui mengauditkan penggunaan bahasa Melayu tindakan terbaik tetapi mampukah DBP berdepan kerenah birokrasi? Mampukah DBP menegur pemimpin yang bertutur dan menulis dalam bahasa penjajah?

Sehingga kini DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

DBP hanya sekadar bersuara, memberi nasihat dan memantau tanpa kuasa penguatkuasaan, justeru lahirlah nama taman perumahan berbaur bahasa asing.

Ketika pembinaan Putrajaya pun, DBP tidak dirujuk untuk menggunakan perkataan ‘presint’ yang langsung tiada kaitan unsur tempatan.

Penulis yakin DBP tidak dirujuk ketika syarikat kereta nasional ditubuh pada 1985. Justeru, lahirlah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd yang menggunakan ejaan ‘otomobil’ bukan automobil.

Isu pengabaian bahasa Melayu pernah dipersendakan apabila tema Hari Kebangsaan pada 1996 yang bermakna ‘lesu’, ‘longlai’ atau ‘tidak bermaya’. Ungkapan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ menjadi sebutan ramai, walaupun perkataan ‘kecapaian’ membawa makna negatif.

Isu kecapaian

Begitu juga slogan sambutan Maal Hijrah pada tahun sama yang berbunyi ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’ yang langsung tidak menepati konsep hijrah itu sendiri. Bayangkan ungkapan yang salah itu diulang berkali-kali dalam kalangan masyarakat ketika sambutan diadakan. Kasihan murid dan pelajar kerana keliru memahami ‘kecapaian’.

Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu bertebaran dari Asia Pasifik hingga ke Afrika Selatan. Tanpa sedar pengguna bahasa Melayu merata di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.

Bagaimanapun kita masih pasrah dengan kesilapan melampau. Apakah masalah sikap atau pihak tertinggi yang kurang tegas dalam isu bahasa, seperti juga longlai dalam isu novel Interlok angkara hasutan pihak lain? Ada ketika politik mengatasi isu bahasa dan sastera.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bila ilmu ditawan dunia komersial



Oleh : Noor Azam

Pelbagai isu pendidikan belum selesai

Awal Mei lalu ada berita bertajuk besar: ‘Menguasai bahasa Inggeris adalah satu keutamaan’. Tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin: “Usaha memastikan rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Inggeris tetap jadi keutamaan kerajaan.” Pengumuman ini meletakkan cabaran berat kepada pegawai profesional di Kementerian Pelajaran, guru besar dan guru Bahasa Inggeris. Sejak dulu-dulu lagi sekolah kita tidak pernah cukup peralatan dan guru. Bahasa Inggeris jadi mata pelajaran sampingan. Penguasaannya tidak pernah jadi sebagai satu ‘keutamaan’.

Kemahiran berbahasa, apa lagi bahasa asing, bergantung kepada sejauh manakah ia digunakan setiap hari. Mulai sekarang sekolah perlu memastikan supaya pelajar sebanyak mungkin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Setiap hujung penggal persekolahan perlu ada pertandingan bahas dan pidato dalam bahasa Inggeris. Pastikan selepas Tingkatan Lima anak kita mahir berbahasa Inggeris.

Di samping itu, sekolah kita berhadapan dengan cabaran lain lagi. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan (5 Julai), mata pelajaran baru, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Menurut Dr Mohd Puad: “Kita tidak boleh lagi menunggu lebih lama kerana menurut kajian, ramai remaja di negara ini masih tidak mengetahui fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan wanita.”

Kata Mohd Puad lagi: “Pengajaran subjek terbabit yang dicadangkan bermula pada peringkat sekolah rendah atau menengah rendah juga membolehkan remaja memperoleh maklumat berhubung kesihatan reproduktif dengan lebih tepat.”

Pelajaran ini juga katanya, berupaya mengurangkan masalah kepincangan sosial dalam kalangan anak muda sekarang. Silibus yang sesuai dimasukkan dalam pelajaran ini boleh menyedarkan anak muda mengenai bahaya kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Ketika zaman penulis bersekolah dan menjadi remaja, tanpa ada mata pelajaran khusus berkaitan hubungan lelaki wanita, sudah cukup tahu akan bahaya berzina. Tahu hukumnya dan akibat buruknya kepada diri dan keluarga. Sekarang ketika zaman semuanya boleh dibaca dan dilihat di mana-mana, sekolah terpaksa pula mengadakan pelajaran ‘Kesihatan Reproduktif’ (namanya pun aneh!).

Masalah ‘kepincangan sosial’ dan hubungan seks dalam kalangan remaja, bukanlah kerana mereka tidak tahu bahayanya, tetapi kerana mereka tak terdaya melawan ombak rangsangan seks di sekeliling mereka. Yang memberikan contoh tidak baik itu, terutama sekali golongan yang lebih tua daripada mereka, berlaku di depan mata dalam pelbagai media, tanpa sekatan dan batasan. Ibu bapa yang prihatin jadi serba salah dan kehilangan arah.

Budaya komersial yang melampau, terutama dalam mengeksploitasi dan memperdagangkan tubuh wanita sudah meracuni otak dan merangsang nafsu kaum remaja. Kepincangan sosial lebih serius berlaku dalam kalangan orang dewasa. Internet dan alat komunikasi baru yang sangat canggih, sudah pula berkembang menjadi sumber penyakit sosial yang tak mampu dikawal lagi.

Justeru, apapun ilmu dan didikan di sekolah, sukarlah mencapai tujuannya kerana masyarakat dan negara tidak lagi punya kekuatan untuk mengawal tingkah laku manusia dan dunia komersial. Sebaliknya dunia komersial pula yang menguasai pemerintah negara.

Pada 28 Jun lalu dilancarkan pula program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). Menurut Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (bekas Ketua Pengarah Pelajaran) tuisyen percuma ini ‘akan memberi faedah kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat tuisyen terbaik.’

Seramai 350 ‘guru cemerlang’ yang membabitkan 107 sekolah rendah dan menengah akan memulakan projek perintis di Selangor. Kumpulan yang terpilih mengikuti tuisyen ini ialah calon ujian UPSR, PMR dan SPM.

YGMB ialah yayasan yang ditubuhkan oleh bekas pegawai tinggi pendidikan. Apabila mereka pula menganjurkan tuisyen, membuktikan pengajaran di sekolah tidak dapat menjamin kelulusan ujian yang baik, walaupun sudah ada sekolah dan guru yang ditarafkan ‘cemerlang’. Akhirnya kecemerlangan sekolah bergantung kepada tuisyen di luar sekolah. Justeru, guru dan sekolah yang benar-benar cemerlang tidak akan ada lagi!

RM2 juta sudah diperuntukkan bagi program perintis ini. Apabila diperluaskan ke seluruh negara biayanya pastilah ratusan juta dan membabitkan ribuan guru cemerlang! Timbullah banyak persepsi negatif!

Apakah program dan perbelanjaan ini wajar? Mengapa pengajaran di sekolah tidak cukup untuk menyediakan pelajar menghadapi ujian? Apakah program ini akan menjadi  sebahagian daripada sistem pendidikan kita? Yang boleh menjawab hanya guru dan pegawai profesional di Kementerian Pelajaran dan YGMB. 

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kes Curi Motosikal Di Parkir & Pusat Beli Belah Paling Tinggi Direkodkan


PETALING JAYA : Kes curi motosikal antara kes tertinggi direkodkan bagi kejadian jenayah di parkir dan sekitar pusat beli-belah iaitu sebanyak 115 kes dilaporkan pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia diikuti cabul sebanyak 44 kes, samun tanpa senjata api (10) dan ragut sebanyak lapan kes.

"Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, sebanyak 54 kes curi motosikal dicatatkan, 17 kes cabul, enam kes samun tanpa senjata api dan ragut empat kes," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, Jumaat.

Sesi dialog itu disertai lebih 300 ahli PPK yang membincangkan mengenai isu keselamatan di pusat beli-belah dan kaedah yang boleh diambil dalam mengurangkan jenayah.

Khalid berkata pengusaha pusat beli-belah harus diberi pendedahan mengenai kepentingan serta meningkatkan tahap keselamatan di kawasan tersebut sebagai usaha memerangi kejadian jenayah di sekitar pusat beli-belah khususnya di parkir. Katanya sesi perjumpaan secara berkala diharap dapat dijalankan bersama pihak pengurusan pusat beli-belah dalam menyalurkan sebarang perkembangan terkini berkenaan keselamatan di pusat beli-belah. Khalid berkata pengusaha pusat beli-belah digesa mencontohi inisiatif yang diambil pusat beli-belah Sunway Pyramid dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di kawasan letak kereta.

"Dengan memasang sebanyak 200 alat 'panic button' serta lebih 400 kamera litar tertutup (CCTV) di parkir serta menyediakan pengawal keselamatan yang lebih ramai dan melakukan rondaan menggunakan motosikal dan basikal sekaligus mampu memberikan keyakinan kepada orang ramai.

Hasil dialog itu juga, Khalid berkata pengusaha pusat beli-belah menyambut baik cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini untuk menempatkan anggota sukarelawan seperti Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di pusat beli-belah.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan mengenal pasti kawasan baru tumpuan jenayah termasuk pusat beli-belah.

"Selain 50 tempat hotspot yang telah kita kenal pasti, kita juga akan mengenal pasti kawasan tumpuan jenayah yang baru di mana ia akan turut diperluaskan di pusat beli-belah," katanya selepas Majlis Taklimat Khas Pemantapan Aktiviti Memerangi Jenayah bersama Ketua-ketua Polis negeri dan daerah di Pasukan Gerakan Am, Bridged Tengah, Cheras. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Polis Bantu 1,473 Bekas Tahanan Dapatkan Kerja


Oleh :  STEVEN DANIEL

KUALA LUMPUR : Polis memantau pergerakan 1,473 individu seluruh negara yang dibebaskan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri sejak beberapa bulan lalu dan sedia membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan bagi mengelakkan mereka kembali terlibat dengan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata bekas tahanan agak sukar mendapatkan pekerjaan kerana pihak majikan  sangsi akan penerimaan masyarakat terhadap mereka, justeru beliau berharap perkara tersebut tidak akan menjadi punca mereka kembali kepada tabiat buruk mereka sebelum ini.

"Kami berharap bekas tahanan ini mendapat peluang kedua dalam hidup dan mereka akan merebut peluang itu serta berusaha menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam komuniti mereka.

"Saya juga berharap masyarakat dan bakal majikan akan memberikan mereka satu peluang bukan menilai mereka sebagai golongan yang bermasalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat kepada ketua-ketua polis negeri dan pegawai kanan di Bukit Aman pada Jumaat.

Ketika taklimat tersebut, Ismail telah mengarahkan semua ketua polis daerah mesti berhubung dengan bekas tahanan yang telah kembali ke kampung mereka untuk mengetahui sama ada mereka menganggur atau tidak.

Sekiranya bekas tahanan ini masih menganggur mereka perlu memberikan butiran peribadi mereka kepada Jabatan Tenaga Kerja dalam usaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Ismail berkata tindakan memantau pergerakan bekas tahanan diambil bukan untuk mengganggu sebaliknya membantu mereka.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut mengumumkan bahawa semua anggota polis perlu berlatih ‘Confidence Building Action’ ketika menguruskan kes yang melibatkan mereka yang menjadi mangsa jenayah bagi membantu mengurangkan trauma yang dihadapi.

"Di bawah rancangan ini, setiap mangsa yang telah membuat laporan polis akan dihubungi oleh pegawai penyiasat yang ditugaskan memantau kes tersebut sekurang-kuranya sekali setiap hari bagi mengemas kini perkembangan terbaru dalam kes tersebut.

"Pada masa akan datang sebuah pasukan khas akan dihantar untuk melawat mangsa sekali gus dapat mengelakkan risiko kejadian jenayah yang sama berulang semula di kawasan mereka. Ia juga dapat membantu mangsa pulih daripada pengalaman pahit yang dihadapi mereka," katanya.

Berhubung kes sepasang suami isteri  mengambil tindakan nekad untuk tinggal dalam kereta mereka selama seminggu berhampiran dengan Hospital Ampang Jaya selepas pangsapuri mereka di Pandan Perdana dipecah masuk dan anak perempuan mereka ditetak dengan parang oleh penyerang, Ismail berkata beliau telah mengarahkan ketua polis daerah berbuhung dengan pasangan tersebut.

"Ketua polis daerah secara peribadi akan bercakap dengan pasangan tersebut dan jika tempat tinggal mereka memang menjadi tempat jenayah kita akan meningkatkan rondaan dan tahap keselamatan di sana," katanya sambil menambah bahawa beliau berharap tindakan tersebut dapat memberi keyakinan kepada keluarga berkenaan supaya kembali semula ke rumah mereka.

 Sumber : http : //www.mstar.com.my/ 

ISU SOSIAL : Bahana Dendam


DENDAM dan pembalasan sesama manusia mungkin merupakan antara kisah yang selalu kita dengar.

Dalam peperangan, manusia terus berdendam dan saling membunuh pihak yang bertentangan.

Banyak kisah pergaduhan sesama manusia yang kita dengar, sebahagian besar daripadanya berpunca daripada rentetan kisah dendam yang berpanjangan.

Kajian-kajian psikologi yang dijalankan sejauh ini menunjukkan dendam biasanya akan berakhir dengan pelbagai tingkah laku negatif, termasuklah bunuh, vandalisme, kelangsangan dan jenayah. Ini berlaku terutamanya kepada pihak lain yang menjadi punca kemarahan.

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, ada juga orang yang berdendam melakukan sesuatu yang merosakkan diri sendiri, misalnya melukakan diri sendiri atau mengambil tindakan yang lebih menakutkan, misalnya membunuh diri.

Seorang lelaki warga Pakistan baru-baru ini membunuh diri bersama dua anaknya dengan terjun dari sebuah kondominium. Besar kemungkinan ia disebabkan dendam yang disebabkan oleh masalah rumah tangga yang dialaminya.

Mangsa mungkin tidak berupaya melakukan tindak balas kepada sasarannya, tetapi mengambil tindakan pasif dengan merosakkan diri sendiri dan anak-anaknya.

Mengapa orang yang berdendam selalunya akan melakukan sesuatu yang adakalanya di luar kawalan?

Kajian-kajian psikologi menunjukkan pelbagai sebab mengapa manusia yang berdendam ini melakukan tindakan yang tidak terjangkau akal.

Antara sebab yang selalu disebut termasuklah untuk menjaga air muka, memberi pengajaran kepada mangsa, membina penghormatan dan mengembalikan harga diri.

Dalam banyak keadaan, semua ini dilakukan bagi memastikan kononnya keadilan sepadan akan dapat dicapai (getting even).

Oleh sebab itulah, dalam banyak kes dendam, kebanyakan serangan akan dilakukan terhadap seseorang atau objek yang menyebabkan punca dendam itu berlaku.

Ini bagi memastikan bahawa punca atau objek akan mendapat pengajaran yang bersesuaian dengan apa yang telah dilakukan.

Pembalasan juga mungkin tidak semestinya terhadap mereka yang melakukan sesuatu yang dianggap menyakitkan. Ia boleh jadi terhadap pihak lain yang dianggap mempunyai persamaan dengan individu atau mereka yang menjadi punca kepada dendam.

Dalam banyak kes, serangan pengganas misalnya telah menjadikan orang awam sebagai sasaran. Orang awam itu dianggap mewakili atau ada hubungan dengan mereka yang menjadi punca kepada dendam, walaupun hakikatnya orang awam tadi mungkin tidak mengetahui tentang sebab permusuhan.

Penilaian subjektif

Sungguhpun begitu, harus diingat bahawa manusia biasanya hanya menggunakan penilaian subjektif bagi melunaskan dendam mereka.

Ada tindakan yang adakalanya dilihat sebagai kecil sahaja, tetapi bagi sesetengah orang, ia dilihat sebagai hal yang besar.

Tindakan mengacah atau mengejek misalnya, kadang-kadang berakhir dengan tragedi pembunuhan. Ini kerana tindakan mengacah atau mengejek itu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang menjejaskan kehormatan sesetengah individu.

Semua ini menunjukkan bahawa dendam adalah reaksi emosi yang berlainan antara seseorang individu dengan individu yang lain. Sebab itulah, dalam perhubungan dan interaksi kita dalam masyarakat, kita sepatutnya mampu membezakan sikap dan karakter seseorang individu agar tidak mencetuskan permusuhan.

Walaupun umumnya, dendam dan pembalasan ini melibatkan sesama manusia, bagaimanapun, adakalanya ia juga boleh melibatkan objek yang bukan manusia.

Memburu keadilan

Dalam kes di Sarawak baru-baru ini, seorang lelaki telah melakukan tindakan nekad dengan memburu buaya yang telah mengorbankan nyawa isterinya.

Dia terus memburu bagi memastikan bahawa keadilan akan dapat dicapai dan hukuman yang sepadan diterima oleh buaya yang menyerang isterinya.

Adakah dendam manusia terhadap objek yang bukan manusia merupakan tindakan yang pelik?

Secara psikologi, ia bukanlah perkara yang pelik kerana haiwan tadi dianggap sebagai 'objek' yang patut diberikan pengajaran.

Di Bangladesh, banyak harimau telah dibunuh kerana harimau ini dikatakan sebagai musuh yang telah mengorbankan banyak nyawa. Ini menyebabkan harimau dijadikan sebagai sasaran dendam manusia.

Bagaimanapun, ada sesuatu yang patut diberikan perhatian. Sebagai manusia, sia-sia untuk kita mempunyai sifat dendam terhadap haiwan.

Haiwan tidak menyerang atau melakukan tindakan seperti manusia. Mereka bertindak dengan menggunakan naluri dan bukan kerana dendam atau perasaan buruk seperti manusia.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa dalam banyak kes, haiwan menyerang mangsanya kerana disebabkan keadaan lapar atau terancam. Ada pula kerana disebabkan oleh sifat biologikal haiwan itu sendiri.

Harimau atau singa misalnya, akan menyerang mangsanya kerana mereka dilahirkan dengan sifat untuk menyerang.

Haiwan seperti buaya pula biasanya akan menyerang mangsa yang dianggap telah menjangkau lingkungan kuasa 'taklukan' mereka.

Sebab itulah, sekalipun manusia terus memberikan pengajaran kepada haiwan, ia akan terus menyerang dan menjadikan manusia sebagai mangsanya.

Haiwan tidak mempunyai proses penilaian seperti manusia dalam tindakan-tindakan yang dilakukan. Ia menyerang manusia bukan kerana perasaan tertentu, tetapi kerana itulah naluri yang telah diciptakan untuknya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU BAHASA : DBP disaran kendali ujian kecekapan BM


MUAR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran supaya mewujudkan sebuah badan bagi mengendalikan ujian tahap kecekapan Bahasa Melayu serta mengeluarkan sijil perakuan kepada pelajar dari negara luar yang berminat mempelajari bahasa itu.

Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Datuk Dr Shahruddin Mat Salleh berkata, selain dapat mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, ia juga boleh membantu agensi kerajaan yang membuka pejabat di luar negeri mendapatkan khidmat tenaga luar yang fasih berbahasa Melayu.

"Badan itu dengan bantuan pakar-pakar Bahasa Melayu boleh merangka satu kertas peperiksaan yang perlu dilalui oleh mana-mana calon rakyat asing.

"Mereka yang lulus dan mendapat sijil pengiktirafan boleh diambil bekerja misalnya di pejabat-pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa atau kaunter-kaunter hadapan pusat jualan tiket perkhidmatan penerbangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Shahruddin yang baru kembali dari lawatan untuk meninjau pengajaran Bahasa Malayu di Tokyo University Of Foreign Student, berpendapat jika saranan itu diterima, Bahasa Melayu yang mula menarik minat pelajar luar negeri akan berkembang lebih pesat.

Lagi pun menurutnya, sudah sewajarnya badan seumpama itu diwujudkan memandangkan terdapat lebih 300 juta penduduk dunia yang bertutur dalam Bahasa Melayu.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa pula akan merasakan penguasaan bahasa tersebut menjadi lebih penting terutama untuk menembusi pasaran di negara yang rakyatnya bertutur dalam Bahasa Melayu.

Mengenai perkembangan Bahasa Melayu di Tokyo University Of Foreign Student, beliau berkata pengajian Bahasa Melayu di universiti itu amat membanggakan.

"Mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tahap tinggi dengan baik dan kebolehan mereka ini telah membantu mengakrabkan hubungan dengan pelajar Melayu yang menuntut di Jepun yang juga boleh bertutur dalam bahasa Jepun.

"Ketika bergaul, mereka begitu mesra dan bercakap dalam Bahasa Melayu yang kadang kala diselang-seli dengan bahasa Jepun," katanya. - Bernama

ISU PENGAJIAN TINGGI : 12,700 Lepasan SPM Kurang Cemerlang Dapat Peluang Kedua Menerusi Program MDAB


DUNGUN : Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang ditawarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) setakat ini telah memberi peluang kepada 12,700 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang cemerlang daripada keluarga kurang kemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata pelajar yang mengikuti program yang dilancarkan sejak 2010 itu telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

Daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 pelajar sedang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di UiTM di seluruh negara, katanya.

"Kita mencari pelajar-pelajar lepasan SPM ini jauh hingga ke kawasan pedalaman, terutama mereka yang terdiri dari keluarga miskin tegar untuk diberi kesedaran mengubah hidup masing-masing melalui pelajaran," katanya kepada pemberita pada majlis program MDAB yang dihadiri lebih 20,000 pelajar dan warga UiTM di Arena Square di sini, Jumaat.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan kerja seharinya ke Terengganu hari ini. Antara syarat bagi mengikuti program MDAB ialah perlu memperoleh minimum tiga kepujian dalam SPM dan daripada keluarga berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Dr Sahol berkata program itu bertujuan memberi peluang kedua kepada anak Melayu untuk mengubah masa depan, walaupun pencapaian mereka dalam SPM kurang memberangsangkan dan dibiayai sepenuhnya.

"Pembiayaan bagi mereka diperolehi hasil kutipan wang sumbangan alumni dan wang zakat.

"Alhamdulillah, melalui kajian yang kita jalankan, mendapati pelajar yang menyertai program ini sangat bersungguh-sungguh dan bertekad mengubah hala tuju hidup mereka berikutan komitmen yang diberi kerajaan," katanya.

Kumpulan pertama pelajar program itu bakal menamatkan pengajian di peringkat diploma pada tahun 2013 setelah mengikuti kursus pradiploma selama empat hingga lima bulan.-BERNAMA

ISU KENEGARAAN : Menggubal Akta Keharmonian Nasional



Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya maka dapat kita bersama-sama pada malam yang penuh bermakna ini. Saya gembira pada malam ini kerana akhirnya saya dapat menunaikan janji saya untuk meraikan warga Jabatan Peguam Negara melalui makan malam yang diadakan di atas usaha gigih mereka untuk memudah cara kerajaan dalam merealisasikan Pelan Transformasi Politik Negara yang merupakan sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional ke arah sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Saya dimaklumkan ramai yang menerima jemputan untuk ke majlis pada malam ini terkejut kerana Tan Sri terkenal dengan sifat frugal tetapi mulai yakin dengan kesahihan jemputan apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri yang akan membiayainya' "One of the invitees is reported to have remarked "that's more like it".

Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara Malaysia dan seluruh warga Jabatan Peguam Negara.

JABATAN PEGUAM NEGARA

Jabatan Peguam Negara merupakan antara Jabatan yang merupakan tonggak utama pentadbiran Negara Malaysia. Jabatan Peguam Negara berperanan bukan sahaja selaku Penasihat Undang-undang kepada kerajaan tetapi juga selaku Pendakwa raya serta Penggubal Undang-undang, Jabatan ini bertindak ibarat kompas yang memberi petunjuk bagi memastikan prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang sentiasa dijunjung.

Dalam melaksanakan amanah yang sebesar ini, sememangnya segala tindak-tanduk tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa menjadi perhatian umum. Saya sedar pujian dan celaan yang datang silih berganti telah menjadi asam garam kehidupan setiap warga Jabatan Peguam Negara.

Namun, saya amat berbangga kerana warga Jabatan Peguam Negara tidak pernah leka dengan sanjungan dan pujian serta tidak pula melatah setiap kali diasak dengan tohmah dan fitnah. Saya percaya, semua cabaran berjaya ditempuh dengan berpaksikan kepada semangat profesionalisme yang tinggi dan keikhlasan tuan-tuan dan puan-puan untuk berkhidmat demi negara yang tercinta.

PROGRAM TRANSFORMASI POLITIK : JANJI DITEPATI

Pada 15 September 2011 yang lalu, saya telah pun berjanji di hadapan rakyat Malaysia untuk mengubah landskap politik negara sejajar dengan kehendak dan aspirasi rakyat. Program Transformasi Politik ini merupakan pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional yang bukan sahaja mendukung impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju malah menjadi sebuah negara yang sentiasa menjunjung prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan telah menepati janji-janjinya. Undang-undang lapuk yang telah ditelan waktu dan tidak lagi relevan seperti Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad telah dimansuhkan. Undang-undang Baru seperti Akta Perhimpunan Aman telah digubal dalam rangka mengukuhkan hak rakyat yang telah dijamin Perlembagaan iaitu untuk berhimpun secara aman.

Beberapa undang-undang sedia ada pula telah dipinda seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang menghapuskan keperluan memperbaharui lesen secara tahunan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menjamin hak perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi untuk menganggotai mana-mana parti politik.

Kerajaan juga telah bertindak untuk membatalkan tiga Proklamasi Darurat pada 20 Disember 2011. Namun, usaha kerajaan tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat, kita telah membuat keputusan bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah berkuat kuasa semenjak lebih lima puluh tahun lalu. Dalam rangka untuk mengimbangi keselamatan negara dan hak kebebasan rakyat dalam abad ke-21, kerajaan telah menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

JURANG ANTARA TUDUHAN POLITIK DAN HAKIKAT SEBENAR

Kita mengambil langkah memansuhkan ISA kerana ia merupakan langkah yang betul dan kena pada masanya. Adalah tidak adil dan tidak benar sama sekali tuduhan liar yang mendakwa kita sebagai kerajaan bertindak secara opresif dan zalim. Bukankah kerajaan ini yang mengambil langkah memansuhkan, meminda dan menggantikan undang-undang seperti yang saya senaraikan di atas. Bukankah tindakan kita melambangkan sikap progresif dan memerlukan keberanian moral serta iltizam politik yang bukan sedikit. Seperti kata pepatah Inggeris "We need morale courage and we walk the talk". Nyata terdapat jurang besar antara tuduhan bersifat politik dan hakikat sebenar.

Begitu juga tuduhan bahawa kerajaan menyalahgunakan ISA untuk menangkap musuh-musuh politiknya. Ini tidak benar sama sekali. ISA telah diguna bagi menangani anasir yang cuba menggunakan cara tidak berperlembagaan sama ada secara halus atau terbuka untuk membahayakan demokrasi itu sendiri. Tidak dapat dinafikan ISA telah memainkan peranannya di dalam era yang lalu untuk menyelamatkan kebebasan individu, sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta kemakmuran negara daripada ancaman totalitarianisme.

Namun cabaran keselamatan yang dihadapi negara dan dunia hari ini adalah berbeza dengan cabaran yang dihadapi negara dan dunia masa lalu. Masa telah berubah rakyat Malaysia hari ini lebih matang, tahap pendidikannya lebih tinggi, akses kepada maklumatnya lebih meluas serta taraf sosio ekonominya lebih baik. Gabung jalin semua faktor ini telah membawa cabaran yang berbeza, oleh itu ia perlu ditangani dengan kaedah yang sesuai dengan era kini.

Dalam mana-mana negara demokratik di dunia peranan akhbar amat penting. Bagi memastikan idea yang terbaik dapat memanfaatkan rakyat kerajaan juga telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan dengan kawal selia media dan penerbitan sepertimana yang diumumkan dalam ucapan saya di Majlis Malam Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011. Sudah tiba masanya para wartawan dan pemilik media di Malaysia diberi kepercayaan yang sewajarnya untuk mengawal selia tata kelakuan dan etika kewartawanan masing-masing. Peranan ini akan dilaksanakan melalui sebuah badan bebas yang dianggotai oleh pengamal media. Kuasa kawalan kendiri ini juga termasuk untuk membuat kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengawal selia tata kelakuan para wartawan dan pemilik media.

Untuk melengkapkan fasa pertama Program Transformasi Politik ini suka saya mengumumkan bahawa kerajaan telah pun mengambil keputusan untuk menguatkuasakan secara serta-merta semua akta baru dan pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang berkaitan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Hakikatnya, kerancakan untuk melakar warna dalam kanvas politik Malaysia baru sahaja bermula. Banyak lagi perubahan-perubahan yang telah dibariskan demi menenun benang-benang impian kita dalam membentuk sebuah masyarakat demokratik yang matang.

KENAPA AKTA HASUTAN 1948 PERLU DIGANTI AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

Semasa pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) di Dewan Rakyat pada 16 April 2012 yang lalu, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan 1948 tanpa mengetepikan apa-apa opsyen, yakni sama ada untuk meminda peruntukan-peruntukan yang sedia ada atau memansuhkan Akta yang sudah berusia lebih 64 tahun tersebut sama sekali.

Kerajaan telah membuat keputusan agar Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Keputusan menggantikan Akta Hasutan dibuat kerana kita mahu mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik di antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara sesuai dan selaras dengan peruntukan dan jaminan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini. With this new act we would be better equipped to manage our national fault lines. It will also help to strengthen national cohesion by protecting national unity and nurturing religious harmony.

Tanpa keseimbangan yang ideal kita berkemungkinan merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif ataupun membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremis. Keseimbangan ini perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada lebuh raya maklumat yang mampu menyebabkan information overflow, taraf pendidikan dan sosio ekonomi yang semakin tinggi serta tahap ekspektasi yang semakin meningkat.

Peruntukan-peruntukan baru yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Peruntukkan-peruntukkan Akta baru ini akan mencerminkan komitmen jitu kerajaan untuk mempertahankan semua agama dan semua kaum yang membentuk negara bangsa Malaysia daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab. Akta baru ini akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kita bertindak terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional. Perbuatan adu domba seumpama ini akan dianggap sebagai satu jenayah terhadap rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersikap bahawa jika ada mana-mana kaum mahupun agama disakiti maka seolah-olah semua kaum dan semua agama rakyat Malaysia sama-sama disakiti bak kata pepatah Melayu cubit paha kanan maka paha kiri akan terasa.

Hari ini Malaysia ialah sebuah negara yang sedang berada dalam peralihan atau transisi daripada sebuah negara yang berstatus membangun kepada sebuah negara maju. Kestabilan politik, dasar-dasar yang progresif, sistem demokrasi berparlimen, kebebasan kehakiman dan penghormatan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang semenjak merdeka lebih lima puluh tahun lalu telah membolehkan Malaysia mencipta kejayaan demi kejayaan.

Walau cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah negara cukup kompleks dan unik kita masih mampu menggarap kejayaan. Bukan sedikit negara yang berbilang kaum yang menjadi negara gagal kerana tidak bijak menguruskan kepelbagaian yang ada. Apatah lagi negara sekompleks Malaysia yang bukan sahaja berbilang kaum tetapi juga agama, budaya, bahasa, status sosio ekonomi di samping dipisahkan secara fizikal oleh lautan.

Cerita kejayaan Malaysia dimungkinkan oleh sistem nilai yang meraikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan negara bukannya sebagai penyebab kelemahan. Kejayaan kita juga berpaksi kepada rakyat Malaysia yang mengamalkan sikap kesederhanaan dan pandangan hidup yang positif. Mereka melihat hari ini sebagai lebih baik daripada hari semalam dan hari esok sarat dengan harapan dan kemungkinan.

Pada kemuncaknya kita berjaya kerana kita rakyat Malaysia bersatu padu tanpa mengira perbezaan yang wujud. Perpaduan nasional ini diasaskan di atas titik persamaan dan pemersatuan yang wujud di antara kita. Bahawa kita semua merupakan warga Malaysia yang mencintai tanah airnya, Malaysia ialah tempat tumpah darah kita, tempat menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, tempat kita mencari rezeki, tempat kita membesarkan anak-anak dan akhirnya dengan izin Tuhan tempat kita bersemadi selama-lamanya apabila tiba masanya. Kita mahukan Malaysia yang lebih baik, lebih aman dan lebih makmur untuk anak cucu kita.

Menjadi tanggungjawab setiap kita anak-anak Malaysia untuk bersama-sama membentuk negara yang kita dambakan. Sebuah Malaysia di mana individu akan dinilai berdasarkan bakat, kesanggupan untuk bekerja keras, kesanggupan mengambil risiko serta karakter yang dimiliki berbanding ras. Setiap anak Malaysia adalah penting untuk negara dan seharusnya mempunyai peluang yang sama untuk berjaya di bawah kibaran Jalur Gemilang. Kerajaan tidak boleh menentukan outcome yang sama namun kita bertanggungjawab menyediakan peluang yang equitable atau saksama.

Saya tidak mengatakan usaha kita ini akan sentiasa berjalan lancar atau kita akan sentiasa menemui kejayaan pada setiap peringkat namun ialah satu kesilapan jika hanya kerana perjalanan ini sukar maka kita tidak mempunyai keberanian moral dan iltizam politik untuk memulakannya. Kita sesungguhnya mempunyai tanggungjawab kepada generasi Malaysia mendatang untuk mewariskan kepada mereka Malaysia yang lebih baik.

Kerajaan sedar bahawa umum menganggap Akta Hasutan 1948 sebagai alat kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan. Walaupun anggapan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali, kita perlu menghapuskan persepsi tersebut. Lantaran itu, peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh pihak Kehakiman melalui peruntukan-peruntukan dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah yang sedia ada.

Namun, perlu juga saya tekankan di sini bahawa kebebasan bercakap dan bersuara hendaklah sentiasa diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam. Sebagaimana negara-negara lain yang menjunjung prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law), kebebasan bercakap dan bersuara bukanlah suatu hak yang diberikan secara mutlak sebaliknya dibatasi dengan sekatan-sekatan yang sewajarnya.

Begitu juga di Malaysia. Kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang dirasakan amat perlu apatah lagi dalam suasana kemajmukan masyarakat Malaysia yang unik dan rumit sifatnya.

Namun, yang paling utama, kerajaan akan tetap memastikan bahawa peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan dan perlakuan yang berikut:

(i) Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;

(ii) Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan

(iii) Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum menggubal Rang Undang-undang Keharmonian Nasional ini kerajaan ingin menjemput pandangan dan pendapat rakyat Malaysia sama ada individu mahupun pertubuhan mengenai perkara yang perlu ditangani dalam merangka perundangan ini. Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk mendapat sudut pandangan semua stakeholder.

Pada analisis akhirnya saya teringat kepada pendapat ahli falsafah tersohor Britain, John Locke: "The end of law is, not to abolish or restrain, but to preserve and enlarge freedom". Second Treatise Of Civil Government (1690).

PENUTUP

Melalui pemansuhan dan penggubalan undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea. Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia di mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi.

Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju yang sebenar-benarnya bukan sahaja maju daripada segi pendapatan per kapita, saiz GNI dan pembangunan fizikal semata-mata. Kemajuan yang kita inginkan adalah menyeluruh sifatnya merangkumi semua aspek termasuk secara psikologinya

Pembinaan negara dan bangsa Malaysia yang tercinta ini perlu dipasak dengan lima ikrar Rukun Negara yang dilaung setiap rakyatnya. 'Keluhuran Perlembagaan' atau 'Upholding the Constitution' dan 'Kedaulatan Undang-undang' atau 'Rule of Law' yang merupakan dua prinsip yang sentiasa dijunjung tinggi. Tanggungjawab ini bukan sahaja digalas oleh Jabatan Peguam Negara tetapi juga oleh semua pihak bagi memastikan bahawa Malaysia kekal berjaya.

Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urus setia yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis makan malam ini. Kepada seluruh warga Jabatan Peguam Negara, segala usaha dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan amat saya hargai. Teruskan khidmat bakti anda. Saya berharap agar Jabatan ini akan terus menjadi contoh kepada penjawat awam yang lain.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : 38,549 Calon Dapat Tawaran Ke IPTA Sesi 2012/2013


PUTRAJAYA : Lebih 38,000 calon berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2012/2013.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata mereka dipilih daripada 52,430 calon yang layak daripada 63,467 permohonan, dan surat tawaran rasmi akan dihantar mulai Isnin ini.

Bilangan calon yang layak menurun 1.5 peratus disebabkan beberapa faktor iaitu jenis kursus yang dipilih, mempunyai merit rendah serta tidak menduduki Malaysia University English Test, katanya pada pada sidang media, di sini, Jumaat.

Rujhan berkata daripada 38,549 yang diterima itu, 25,372 atau 65.8 peratus adalah wanita, manakala dari segi aliran pula 57 peratus daripada aliran sains dan baki beraliran sastera. Prestasi calon yang berjaya mengikut kaum pula menunjukkan bumiputera mencatat 70.2 peratus (27,455), Cina (86.4 peratus atau 8,986), India (72.8 peratus atau 1,384) dan daripada kaum lain 69.8 peratus. Rajhan berkata 5,154 calon ditawar mengikuti lapan kursus kompetitif iaitu perubatan (875 orang), pergigian (170), farmasi (295), undang-undang (354), kejuruteraan kimia (666), kejuruteraan mekanikal (1,071), kejuruteraan elektrik dan elektronik (919), serta perakaunan 804 calon.

Untuk sesi akademik kali ini sebanyak 1,682 atlet negeri dan negara, 20 calon orang kurang upaya dan 22 daripada kelompok Orang Asli turut ditawar tempat ke IPTA, katanya.

Sementara itu, Rujhan berkata bermula tahun ini, semua IPTA berstatus universiti penyelidikan diberi autonomi mengenai pengurusan kemasukan pelajar ke institusi masing-masing iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Sehubungan itu, sebanyak 2,015 calon yang berjaya ke IPTA akan menerima dua surat tawaran sama ada dari USM yang juga berstatus Apex (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan) atau IPTA lain bertaraf universiti penyelidikan.

Calon terbabit menerima dua tawaran kerana mereka memohon secara serentak sama ada kepada USM atau universiti penyelidikan lain, katanya.

Rujhan berkata calon yang menerima surat tawaran perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari atau sebelum 22 Julai.

Calon juga boleh menyemak status permohonan melalui laman sesawang http://upu.mohe.gov.my, http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my bermula hari ini, atau menghubungi talian hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Mereka juga boleh datang ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di Kementerian Pengajian Tinggi Presint 5 untuk membuat semakan mulai hari ini sehingga 20 Julai.

Calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan melalui e-rayuan di laman sesawang http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 22 Julai. Dr Rujhan berkata tarikh pendaftaran pelajar baharu ke IPTA ialah dari 1 sehingga 2 September.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata 683 calon yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas gagal mendapat tempat di IPTA.

"Seramai 105 mendapat PNGK 3.50 hingga 3.99 dan 163 calon lagi mendapat PNGK 3.00 hingga 3.49 tidak mendapat tawaran kerana tidak bersetuju menerima program di luar pilihan mereka.

"Seramai 87 calon yang mendapat PNGK 3.50 hingga 3.99 dan 328 calon menerima PNGK 3.00 hingga 3.49 pula gagal mendapat tempat kerana tidak memenuhi syarat am universiti atau syarat khas program pengajian yang dipilih," katanya.

Katanya terdapat calon yang memperoleh PNGK tertinggi iaitu 3.96 juga gagal mendapat tempat kerana memohon mengikuti kursus perubatan di universiti penyelidikan yang mensyaratkan PNGK 4.0 untuk kursus perubatan serta tidak mahu menerima tawaran kursus yang sama di universiti lain. - BERNAMA

ISU BAHASA : Wujudkan gelombang baharu penggunaan bahasa Melayu


KUALA LUMPUR -  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya satu gelombang baharu  penggunaan bahasa Melayu dapat diwujudkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), satu-satunya badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan dasar berkaitan bahasa kebangsaan, perlu menjadi badan pemegang amanah atau penjaga perbendaharaan ilmu dan persuratan Melayu di negara ini.

Katanya selain perlu berperanan sebagai pusat rujukan sehenti oleh penyelidik dalam dan luar negara tentang ilmu dan persuratan Melayu, DBP juga perlu meningkatkan kerjasama strategik dan sinergi dengan pusat-pusat penyelidikan dan universiti di dalam dan di luar negara.

"Usaha-usaha penyelidikan dan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu perlu dilipatgandakan lagi. Penubuhan Pusat Persuratan Melayu Malaysia yang dicadangkan di bangunan lama DBP boleh dijadikan gerak awal untuk  memulakan usaha ini," katanya ketika melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015 di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata kedudukan dan peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata, sebaliknya perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia.

Katanya, DBP perlu memanfaatkan prasarana dan mekanisme sedia ada terutama yang melibatkan hubungan dan kerjasama antara negara seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dalam usaha untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia.

Katanya, pelancaran Pelan Strategik DBP selama lima tahun itu, boleh dijadikan landasan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai teras jati diri rakyat dalam persediaan negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata, dalam pelan tersebut, satu inisiatif baru yang berimpak tinggi ialah program Audit Bahasa, program yang bukan bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya langkah kerajaan untuk membantu  meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam.

Audit Bahasa yang akan dimulakan pada tahun hadapan memberikan tumpuan awal terhadap enam sektor di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh beliau, iaitu perkhidmatan awam, tempat awam, penyiaran dan komunikasi, kewangan dan perbankan, perdagangan dan pendidikan, katanya.

Muhyiddin berkata, Audit Bahasa dalam sektor lain akan dilaksanakan dalam fasa kedua program itu. 

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain  mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

"Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan beberapa bahagian terpilih di JPA untuk diaudit bahasa pada Disember ini.

"Kementerian Pengajian Tinggi juga telah meletakkan sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT, manakala Kementerian Kewangan telah mengarahkan bank dan (syarikat) insurans untuk menggunakan bahasa kebangsaan.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan seminar untuk kumpulan peniaga dan usahawan. Saya yakin, jika usaha sebegini dapat dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh  melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta, bahasa Melayu tidak akan terpinggir di buminya sendiri," katanya. – Bernama