Jumaat, 13 September 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pelajar Tidak Mahu Kembali Ke Mesir Diminta Daftar Dengan Kementerian


BESUT : Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh meminta pelajar yang tidak mahu kembali ke Mesir bagi menyambung pengajian mereka mendaftar dengan Majlis Pelajar Malaysia Mesir (MPMM) secepat mungkin.

Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan kementerian menempatkan mereka di tempat belajar baharu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

"Tinjauan awal melalui perjumpaan dengan pelajar terbabit di Putrajaya semalam mendapati kira-kira 3,000 tidak mahu ke Mesir dan bersetuju meneruskan pengajian di Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya kementerian sudah mengenal pasti IPTA yang bersedia menerima pelajar terbabit.

Pada masa yang sama, Idris berkata kerajaan tidak menghalang pelajar yang ingin kembali ke negara bergolak berkenaan bagi meneruskan pengajian mereka, terutama pelajar tahun akhir.

Idris sebelum itu merasmikan Majlis Profesor Bersama Komuniti yang disertai lebih 50 anggota Majlis Profesor Negara (MPN).

Mengulas majlis itu, beliau berharap MPN meneruskan program turun padang yang dilihat dapat memberi motivasi kepada masyarakat untuk memperbaiki taraf hidup.

Katanya program juga perlu diadakan lebih kerap serta diperluas.- BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Latihan semula tingkat mutu guru Bahasa Inggeris


Kuala Lumpur : Latihan semula untuk guru yang gagal mencapai tahap penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris (BI) dianggap langkah terbaik, seiring matlamat melahirkan guru berkualiti.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lim Yoke Pheng, berkata guru yang gagal mencapai kemahiran yang diharapkan dianggap tidak bersedia untuk berkhidmat sepenuh masa, justeru latihan tambahan perlu diberikan.

Katanya, kebenaran untuk guru pelatih menamatkan pengajian tanpa kemahiran seumpama itu hanya akan menyebabkan negara dipenuhi lambakan guru tidak berkualiti.

“NUTP memang menyambut baik, dan menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenainya, kerana jika mereka (guru) dibenarkan mengajar dengan kemahiran minimum, ia akan membawa kepada kemunduran sistem pendidikan negara.

Kuasai subjek

“Untuk menjadi guru yang berkualiti, guru pelatih perlu terlebih dulu menguasai subjek yang akan diajar.

“Jika selepas tempoh yang ditetapkan mereka masih gagal menguasai kemahiran yang perlu ada, mereka tidak boleh keluar kerana itu menandakan mereka masih belum bersedia (untuk mengajar),” katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, Muhyiddin berkata, guru pelatih Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan kemahiran subjek itu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu mengikuti latihan semula antara enam bulan hingga setahun.

Beliau berkata, ia bagi memastikan guru Bahasa Inggeris benar-benar layak dan berkebolehan untuk mengajar, sekali gus membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa terbabit.

Kursus berkualiti

Mengulas lanjut, Loke berkata, cabaran mewujudkan sistem pendidikan berkualiti tidak hanya terletak di bahu guru, sebaliknya Kementerian Pendidikan selaku induk sektor berkenaan perlu menyediakan lebih banyak kursus berkualiti.

“Dalam hal ini, saya fikir jangan hanya salahkan guru jika sistem pendidikan menjadi tidak berkualiti.

“Kementerian Pendidikan sendiri perlu memainkan peranan. Mereka perlu menimbangkan untuk menyediakan lebih banyak kursus yang berkualiti, baru kita dapat melahirkan guru berkualiti,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 70% Guru Bahasa Inggeris Tidak Layak Mengajar?


SHAH ALAM :  Kira-kira dua pertiga daripada guru Bahasa Inggeris di negara ini telah diklasifikasikan sebagai 'tidak berupaya' atau 'tidak layak' untuk mengajar subjek berkenaan di sekolah.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata guru berkenaan telah dihantar mengikuti kursus untuk memperbaiki kemahiran mereka dalam menguasai bahasa berkenaan.

"Kementerian juga sedang menimbangkan cadangan untuk menghantar mereka mengikuti kursus TESL (Mengajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua)," katanya pada sesi dialog mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Selasa.

Idris tidak menyatakan jumlah guru yang tidak layak itu memberi jaminan, sebahagian daripada mereka yang cemerlang telah didaftarkan dalam kursus bahasa Inggeris tempatan.

Kajian terbaru mendedahkan, kira-kira 70 peratus daripada 60,000 guru Bahasa Inggeris, yang menduduki peperiksaan, English Language Cambridge Placement Test, mencatatkan keputusan yang rendah.

Mengenai dakwaan, kerajaan mengetepikan sekolah vernakular melalui PPPM, Idris menafikannya, beliau berkata "semua sekolah diberi layanan sama rata".

"Kita tidak akan mengetepikan mana-mana pihak. Sebaliknya, kementerian menggalakkan semua orang menguasai lebih daripada satu bahasa.

"Sama ada Bahasa Cina, Tamil, Perancis atau Sepanyol sekalipun kerajaan akan berbangga jika seorang rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa-bahasa ini," tegasnya.

Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) menentang PPPM dengan mendakwa pertambahan masa untuk mengajar Bahasa Malaysia daripada 270 minit kepada 300 minit bagi sekolah rendah dan 180 minit kepada 280 minit kepada sekolah menengah merupakan satu tindakan kerajaan untuk menghapuskan pendidikan dalam bahasa ibunda mereka.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Jawatankuasa khas kaji dakwaan guru buat bayaran untuk pertukaran


KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dengan terperinci dakwaan guru membuat pembayaran melalui orang tengah untuk tujuan pertukaran.

Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, menurut kenyataan kementerian itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebut Kementerian Pendidikan amat memandang serius terhadap dakwaan ada guru ingin bertukar menggunakan orang tengah dengan syarat membayar sejumlah wang bagi maksud pertukaran itu.

Kenyataan itu dibuat berikutan laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin lepas mengenai dakwaan di sebuah laman web bahawa wujud pihak yang membuat pembayaran melalui orang tengah setelah kecewa permohonan untuk pertukaran tidak berjaya.

Menurut Kementerian Pendidikan, mengikut prosedur pertukaran guru yang ditetapkan, sebarang pertukaran dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk keperluan perkhidmatan, opsyen atau mata pelajaran dan kekosongan di negeri yang dipohon.

Selain itu, terdapat juga isu lain yang diberi pertimbangan antaranya faktor kesihatan yang kronik dan ancaman keselamatan terhadap guru yang memohon.

Dalam hal ini juga, kementerian telah mengambil beberapa langkah tambahan lebih telus dan terbuka, menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati, termasuk yang ingin merayu terhadap permohonan, boleh terus datang berbincang secara bersemuka dengan pegawai yang terlibat, termasuk Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.- BERNAMA